Perjumpaan dengan Pentadbiran Sekolah dan JAIPk berjaya!

1. Alhamdulillah. Semalam SU Tahan, saudara Mohd Hakim telah bertemu untuk mendapatkan penjelasan mengenai status sekolah daripada dua pihak, iaitu Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Sekolah Raja Perempuan Taayah (SERATA).

2. Kedua-dua pihak ini mengesahkan bahawa satu mesyuarat telah pun dibuat untuk memutuskan status pentadbiran sekolah.

3. Pihak TAHAN melahirkan rasa gembira kerana gesaan dan bantahan TAHAN mendapat respon yang cepat dari pihak yang berkenaan.

4. Namun, TAHAN masih lagi menantikan kenyataan rasmi terutamanya daripada kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.

5. TAHAN berhasrat untuk meneruskan usaha penghebahan maklumat dan kempen tandatangan selagi kenyataan rasmi tidak dikeluarkan.

6. Buat masa ini, TAHAN sedang menyusun jadual untuk turun ke setiap daerah di Negeri Perak untuk membuat sebahan maklumat. Kita berjumpa lagi di daerah anda!
Read More

Gesaan TAHAN hampir membuahkan hasil!


1. Badan Bertindak Pertahankan SIS dan SERATA (TAHAN) mendapat maklumat yang boleh dipercayai bahawa kemungkinan besar pentadbiran SIS dan SERATA tidak akan dipindahkan kepada kerajaan pusat buat masa terdekat ini.

2. Keputusan ini dikeluarkan dipercayai akibat desakan dan bantahan dari orang ramai terutamanya dari bekas-bekas pelajar SIS dan SERATA yang digerakkan oleh TAHAN.

3. Setiausaha TAHAN akan pergi sendiri berjumpa dengan pentadbiran sekolah pada hari ini untuk mendapatkan pengesahan terhadap berita yang diterima ini.

4. Dalam pada yang sama, TAHAN akan meneruskan lagi kempen memberi penerangan kesan buruk pemindahan pentadbiran sekolah kepada orang ramai dan menggiatkan lagi kutipan tandatangan protes kepada tindakan tersebut.

5. Orang ramai terutamanya rakyat Perak dan bekas-bekas pelajar diminta untuk terus menerus peka terhadap isu ini yang akan mengakibatkan kehilangan warisan negeri Perak dan kemunduran pengajian agama di Negara Malaysia.

6. TAHAN juga sedang dalam proses untuk mendapatkan persetujuan dari Radio Perak.FM untuk membuat hebahan maklumat mengenai desakan dan bantahan ini. Badan-badan NGO dan Parti Politik juga telah mula memberikan respon kepada TAHAN. Ini dianggap sebagai satu kejayaan awal TAHAN untuk menghimpunkan kekuatan rakyat dalam mempertahankan kepentingan sekolah dan tidak menjadikannya sebagai agenda Politik.

7. TAHAN juga mengalu-alukan sebarang pertanyaan, soalan dan respon melalui talian pengerusinya, saudara Yuzi Faizal,017-4830965. Sebarang usaha untuk membantu TAHAN didahulukan dengan ucapan terima kasih.

Read More

Jangkaan Keputusan PMR 2009 : SIS & SERATA akan kekalkan kecemerlangan!


1. Sekolah Izzuddin Shah dan Taayah akan teruskan tradisi kecemerlangan dalam peperiksaan PMR 2009.

2. Inilah bacaan awal semua guru-guru, staf sokongan, ibu bapa, pelajar-pelajar dan seluruh bekas pelajar kedua-dua sekolah warisan negeri ini.

3. Mengikut kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom,, keputusan PMR 2009 akan diumumkan pada 24 Disember pada hari Khamis ini.

4. Pihak sekretariat Badan Bertindak Pertahankan SIS dan SERATA (TAHAN) sedang berkira-kira untuk hadir ke sekolah pada jam 10.00 pagi hari Khamis ini untuk melihat sendiri kejayaan anak didik sekolah yang dikaitkan dengan pemindahan pengurusan pentadbiran baru-baru ini.

5. TAHAN juga dalam perancangan untuk membuat satu sidang media ringkas pada hari tersebut untuk memberitahu kepada dunia bahawa walaupun berada di bawah pentadbiran Negeri Perak, ianya bukanlah penghalang kepada pelajar kedua-dua sekolah ini mencapai kejayaan yang cemerlang.

6. Dijangkakan pada tahun ini, bilangan pelajar yang mendapat semua A dalam peperiksaan PMR 2009 di kedua-dua sekolah ini akan meningkat tinggi berbanding tahun-tahun sebelum ini.

7. Justeru, TAHAN mengajak seluruh bekas-bekas pelajar untuk turun ke SIS dan SERATA pada hari Khamis ini, 24 Disember 2009 sebagai satu usaha untuk mengiktiraf kejayaan pentadbiran sekolah di bawah Kerajaan Negeri Perak.

8. Jumpa di SIS dan SERATA hari Khamis ini ya!


Mohd Hakim Mohd Nor
Setiausaha
Badan Bertindak Pertahankan SIS dan SERATA (TAHAN)
Read More

Pendapat Alumni SIS & SERATA (1)


Bersempena dengan kempen untuk memprotes dan membantah usaha untuk memindahkan pentadbiran Sekolah Izzuddin Shah (SIS) dan Sekolah Raja Perempuan Taayah (SERATA), ana akan menyiarkan di blog ini segala pandangan, karya, pendapat dan hujah dari bekas-bekas pelajar SIS dan SERATA untuk tatapan semua.


Sesungguhnya bibit penyatuan telah bermula dan ianya begitu cepat membiak dan merebak.... Dan tiba masanya ia akan meletus kuat hingga tidak mampu ditanggung oleh sesiapa....sebarang yang hadir akan ranap dimusnahkan oleh kuasa letusan ini.... bagi yang cuba menghalangnya akan terhapus dek kuatnya kuasa letusan ini.... dan ianya adalah azam dan semangat kami bekas-bekas pelajar dan seluruh rakyat Negeri Perak agar SIS dan SERATA tidak diganggu oleh sebarang usaha dan campur tangan luar!

=======================
Perkongsian 1
=======================
Bismillahirrahmanirrahim....

Saya terpanggil untuk menyahut sapaan memori lalu. Ketika masih di bangku sekolah menengah, banyak pengalaman yang ditimba buat bekalan meniti penghidupan di hari muka. Bukan itu sahaja, malah pada tempoh itu juga saya mula menempa corak kehidupan. Justeru itu, menyedari peri pentingnya usia awal remaja ini, segenap bekalan yang banyak dan tepat haruslah dipersiapkan supaya diri tidak tersasar dari jalan hidup yang diredhoi Allah-tatkala jiwa dimamah usia kelak.


Saya amat bersyukur kerana melalui zaman itu di sebuah institusi pendidikan yang sangat baik. Masakan tidak, ketika saya diterima masuk ke sekolah tersebut, difahamkan seramai 600 orang yang memohon namun hanya 140 sahaja yang terpilih. Tambahan pula, mekanisme pengambilan pelajarnya pula menerusi satu peperiksaan khas yang saya kira amat mencabar dan sukar juga.


Itulah Sekolah Izzuddin Shah dan begitulah rapinya langkah-langkah yang dilaksanakan bagi memelihara kualiti & prestasinya. Bercakap soal kualiti & prestasi, berputik persoalan dalam diri bertanyakan di manakah letaknya ‘tuah’ sekolah ini? Apakah formula kejayaan yang diamalkan?Adakah sistem pendidikannya berbeza dengan yang lain?


Satu masa dahulu, ketika mengisi satu borang rasmi, saya pernah bertanya satu soalan kepada seorang guru yang juga penolong kanan ketika itu.


“Apa nama sebenar sekolah ni cikgu? ”.


Lantas guru itu menjawab, “Sekolah Izzuddin Shah”.


Saya bertanya semula kerana sedikit gusar ”Bukan ke ‘Sekolah Menengah Agama Izzuddin Shah’ cikgu?


”.”tidak...’’guru itu menjawab tenang. “sekolah kita ni berdaftar dengan nama tu. Sekolah Izzuddin Shah” tambahnya lagi.


“habis tu, apa yang membuatkan sekolah semacam sekolah agama? Malah orang ramai semuanya menganggap ni sekolah agama. Camne tu cikgu?” saya bertanya lagi


dan duru itu menjawab “semuanya terletak pada apa yang kita ada dan apa yang kamu rasa serta apa-apa yang kamu lalui di sekolah ni”. Ringkas jawapan guru itu kerana dia tahu yang saya ada jawapan dan dia yakin kesahihannya.


Apa yang ada? Saya mula mengoreksi minda dan sempat juga bertukar pandangan antara sahabat-sahabat lain, ternyata jawapan bagi persoalan itu semuanya sama. Bukan sepakat tetapi itulah hakikat. Semua setuju dengan keberadaanya peperiksaan I’dadi, thanawi, sijil tinggi agama dan tidak lupa sebuah organisasi induk –Badan dakwah & Rohani. Semua inilah elemen penting yang selama ini wujud, bukan sahaja mencorakkan sekolah malah membentuk peribadi pelajarnya itu sendiri.


Umum merasakan peperiksaan I’dadi dan thanawi seakan tidak punya apa-apa potensi, malah ada pula yang memandang enteng akan peranannya. Walau apa jua perubahan yang ingin dibuat, pemansuhan elemen ini bukanlah satu langkah yang bijak, malah ia seolah-olah menuju kepunahan visi sekolah iaitu ‘menuju matlamat tertinggi’.


Kewujudan peperiksaan I’dadi dan thanawi ini sebenarnya dapat menjamin ketulenan ilmu memandangkan pengajarannya dalam bahasa arab. Memang tidak dinafikan akan betapa hebatnya bahasa al-Quran ini, bahkan ianya adalah bahasa syurga. Ia juga bahasa para anbiya’ dan juga bahasa junjungan mulia kita nabi Muhammad S.A.W. Apakah mungkin di luar sana ada yang menyangkal hebatnya bahasa ini? Ternyata bahasa arab ini sungguh barakah.


Jika dikaitkan dengan elemen I’dadi dan thanawi, saya berpendapat bahawa sekiranya pelajar tidak mendapat ilmu dan kefahaman daripada apa yang dipelajari, barakahnya pasti ada. Barangkali bukan pelajar itu yang hendak Allah berikan kefahaman tetapi mungkin generasi anak cucu mereka. Inilah yang dikatakan barakah ilmu –ia lebih penting daripada ilmu dan selainnya. Inilah juga nilai ketulenan dalam siri pencarian ilmu yang kira-kira patut ada dalam diri setiap pelajar.


Islam adalah sebagai “ad-deen “ –secara mudahnya bermaksud cara hidup. Saya menyedari akan kehidupan pasca persekolahan ini amat menuntut kepada ilmu kehidupan. Saya suka untuk mengajak semua untuk menyedari akan kasihnya Allah akan hambanya kerna dibekalkan kita dengan manual kehidupan iaitu al-Quran. Apa yang disampaikan menerusi wadah suci ini adalah panduan hidup. Ia sememangnya suatu ilmu yang praktikal dan wajib untuk semua umat manusia ikuti.


Samalah juga dengan I’dadi dan thanawi dimana silibus pelajarannya tidak lain adalah berkisar mengenai ilmu-ilmu agama sebagai panduan hidup manusia dan bekalan rujukan perjalanan hidup para remaja khususnya. Inilah ilmu yang tidak mungkin dapat dicari di sekolah-sekolah SBP, MRSM mahupun di sekolah kluster.


Biarlah SIS yang saya cintai ini tidak tergolong dalam kategori sekolah bestari ataupun kluster, tetapi janganlah sampai nilai ilmu kehidupan sebenar itu tergadai dan terkubur dek pembawaan minda sekular yang ternyata menyalahi fitrah manusia serta amat menyesatkan.


Bukan itu sahaja, kewujudan I’dadi dan thanawi ini sedikit sebanyak memberikan kesedaran akan kepentingan hidup beragama dan menjadikan hidup itu satu ibadah. Firman Allah dalam al-Quran itu sendiri(mafhumnya) telah menyebut akan tujuan Dia menciptakan manusia dan jin adalah semata-mata untuk beribadah. Ramai yang menjumudkan minda apabila bercakap soal ini kerna berpendapat bahawa skop ibadah itu hanya menyentuh aspek solat, puasa, qiamullail dan apa jua aktiviti di atas hemparan tikar sejadah semata-mata.


Saya masih teringat ketika mempelajari matapelajaran tauhid. Sejak dari saat itu, saya mula mencari perkaitan antara segala apa yang saya dapat di sekolah dengan Allah S.W.T. Inilah sebenarnya kesan pembelajaran yang saya dan sahabat-sahabat lain dapat rasakan sendiri.


Selain itu, pelaksanaan I’dadi dan thanawi ini seakan memberikan tasawwur awal kepada pengajian aliran agama selepas tamat belajar di bangku sekolah menengah. Bagi yang berminat untuk menuntut di bumi anbiya’ –di Universiti Al-Azhar lazimnya, saya merasakan wadah I’dadi dan thanawi inilah merupakan unsur terpenting dan amat tepat. Menerusi dua elemen ini, para pelajar dapat merancang lebih awal akan perjalanan pengembaraan ilmu mereka di masa hadapan.


Golongan-golongan yang melusuri aliran agama inilah yang kita harapkan agar menjadi pewaris ulama’ di masa akan datang. Apakah ada antara kita yang rela akan kehilangan generasi ulama’ ini? Kepada siapa lagi tempat kita merujuk tatkala timbulnya isu-isu agama? Rumahtangga? Pengurusan harta pusaka?...dan pelbagai lagi permasalahan yang tidak mungkin jawapannya ditemui dalam apa-apa naskah selain merujuk kepada mereka.


Justeru, menyelami pentingnya pelaksanaan pembelajaran I’dadi dan thanawi, saya amat berharap dan senantiasa berdoa agar ia tidak akan bersemadi dek hanya kerana beberapa hal-hal yang pesimis –seperti kepentingan peribadi, kerana kononnya mahu seiring dengan arus modenisasi, mungkin kerana pelbagai pengaruh isme-isme dan barangkali kerana sogokan politik yang hanya bermotifkan duniawi serta kemewahan materi.


Sekian, terima kasih dan selamat menghayati...


p/s: penulis merupakan setiausaha badan kepimpinan Ketua Pelajar SIS ‘05/’06, Kepimpinan BADAR ‘05/’06 dan penerima anugerah pelajar terbaik PMR 2004 serta SPM 2006.
Read More

Teruskan BerTAHAN!

1. Hari ini berlalu dengan begitu mengujakan!

2. Berita mengenai izzuddin dan taayah telah memenuhi dada akhbar-akhbar tempatan dan juga kaca tv.

3. Ramai senior-senior, sahabat-sahabat dan junior bertanya berkaitan dengan perkembangan terkini.

4. Alhamdulillah, medium facebook dan blog ini banyak membantu untuk menjawab persoalan-persoalan ini.

5. Pada hari ini, ana sebenarnya bercadang untuk postkan keratan-keratan akhbar tempatan untuk tatapan bersama, tapi scanner bermasalah. Insya allah, dalam masa yang terdekat ini akan diupdate pada pembaca sekalian.

6. Apa yang penting, perjuangan memperTAHANkan SIS dan SERATA akan diteruskan dengan lebih giat dan aktif lagi.

7. Ana dah jumpa bukti kukuh bahawa pentadbiran SIS dan SERATA wajar dikekalkan pentadbirannya oleh kerajaan Negeri. Sampai masanya, ana akan 'bom'kan maklumat ini kepada semua.

8. Buat masa ini, ana masih lagi menanti kenyataan rasmi dari tiga pihak

a. Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Izzuddin Shah dan Taayah (PBSISTA)
b. Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk)
c. Kerajaan Negeri Perak

9. Kepada semua alumni SIS dan SERATA, mari bangkit perTAHANkan sekolah kita!
Read More

SELAMATKAN SEKOLAH KAMI : SIS DAN SERATA DARI DITUKARMILIKKAN KE KERAJAAN PUSAT

Kenyataan Media (18 Disember 2009)

Kelihatan Setiausaha Bertindak Mempertahankan SIS dan SERATA (tahan) , saudara Mohd Hakim Mohd Nor sedang memberikan maklumat awal kepada media.


Saudara Yuzi Faizal, Pengerusi TAHAN membacakan kenyataan media.


Bekas-bekas pelajar Sekolah Izzuddin Shah yang hadir dari pelbagai 'batch' bergambar di hadapan pintu masuk utama Sekolah Izzuddin Shah.


SELAMATKAN SEKOLAH KAMI : SIS DAN SERATA DARI DITUKARMILIKKAN KE KERAJAAN PUSAT


Himpunan bekas-bekas pelajar Sekolah Izzuddin Shah (SIS) dan Sekolah Raja Perempuan Taayah (SERATA) mendesak agar usaha untuk menukar milikkan pengurusan sekolah daripada Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) dan Kerajaan Negeri Perak kepada Kerajaan Pusat di bawah skim Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dihentikan serta-merta.

Kami bekas-bekas pelajar SIS dan SERATA memandang serius impak negatif dan kesan buruk yang akan terjadi akibat pemindahan pengurusan sekolah ini. Kami bertegas untuk mempertahankan sekolah warisan dan kebanggaan rakyat Perak ini daripada dicerobohi oleh sebarang gangguan luar.

Kesan buruk yang akan terjadi ialah identiti utama SIS dan SERATA sebagai satu-satunya sekolah milik kerajaan Negeri Perak yang menjalankan pengajian I’dadi dan Thanawi akan hilang. Pengurusan baru oleh Kerajaan Perseketuan akan melaksanakan pekeliling pendidikan yang mewajibkan jumlah kredit pengajian subjek yang diajar di SIS dan SERATA sama seperti sekolah harian yang lain. Ini secara jelasnya akan menyebabkan bilangan jam untuk pengajian I’dadi dan Thanawi akan berkurang dan akhirnya terhapus langsung.

Perancangan halus untuk menghapuskan pengajian I’dadi dan Thanawi ini dapat dikesan sebagai satu usaha untuk merendahkan kadar kemasukan dan kelayakan pelajar-pelajar aliran agama ke pengajian Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Ini akhirnya menyebabkan graduan yang memiliki kepakaran dalam lulusan agama akan berkurangan dan menyebabkan pengajian agama terpinggir di negara ini,

Selain itu, kami melihat usaha penukaran ini akan menyebabkan rakyat Negeri Perak akan kehilangan warisan kebanggaan negeri ini. Sejak ditubuhkan, SIS dan SERATA secara konsisten telah menerima dan melahirkan pelajar-pelajar anak kelahiran Perak yang berjaya dalam segala bidang. Kehebatan pelajar SIS dan SERATA yang rata-ratanya terdiri dari anak jati Perak memang tidak dapat dinafikan apabila saban tahun mencapai keputusan peperiksaan yang membanggakan pada peperiksaan PMR, SPM , STPM dan STAM.

Dalam bidang kokurikulum juga, SIS dan SERATA juga telah mengungguli dan menjohani pelbagai acara dan pertandingan samada di peringkat daerah, negeri atau kebangsaan. Ini secara jelas menunjukkan bahawa pihak pengurusan sekolah mampu mentadbir dengan cekap dan baik walaupun tidak terletak dibawah kelolaan Kerajaan Perseketuan.

Kami memohon semua bekas-bekas pelajar SIS dan SERATA, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik untuk bersatu mempertahankan SIS dan SERATA tanpa menjadi isu ini sebagai agenda politik.

Kami juga memohon agar Raja Dr Nazrin Shah, Raja Muda Perak yang juga Yang DiPertua Majlis Agama Islam Negeri Perak mengambil tindakan pantas untuk menyelamatkan nasib SIS dan SERATA.

Kami juga akan melancarkan kempen mengutip tanda tangan dari bekas-bekas pelajar dan orang ramai sebagai tanda protes pemindahan pentadbiran sekolah ini. Serahan tandatangan akan diberikan kepada Raja Dr Nazrin beserta memorandum pada satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Kami sekali lagi menegaskan bahawa tindakan menukar status pentadbiran SIS dan SERATA akan menyebabkan aliran agama terpinggir dan terlupusnya imej dan warisan kebanggaan rakyat Perak ini.


Yuzi Faizal Bin Buyong Basri
Pengerusi Badan Bertindak Pertahankan SIS dan SERATA (Tahan)
Alumni SIS dan SERATA
phone no : 017-4830965

Read More

Laporan Akhbar : PerTAHANkan SIS dan Taayah

Berita dari Harakah


Bekas-bekas pelajar Sekolah Izzudin Shah (SIS) dan Sekolah Raja Perempuan Taayah (SERATA) Perak, membantah dan menuntut penjelasan dari tiga pihak bertanggungjawab berhubung hasrat menyerahkan kedua dua sekolah agama kelolaan kerajaan negeri tersebut kepada pusat.


Ketiga-tiga pihak tersebut adalah kerajaan negeri Perak, Jabatan Agama Islam negeri dan Persatuan Alumni pelajar sekolah terbabit.


Pengerusi Badan Bertindak Pertahankan SIS dan SERATA (TAHAN), Yuzi Faizal memberitahu pihak mereka akan mengadakan satu sidang akhbar berhubung perkara itu dihadapan pintu masuk utama SIS Jumaat ini.


"Kita nak mintak penjelasan dari ketiga-tiga pihak ini supaya kita dapat tahu kewajaran kedua-duanya perlu diserahkan kepada kerajaan pusat," katanya ketika dihubungi.

Yuzi juga memberitahu desakan yang dibuat badan bertindak ini bukan dipengaruhi mana-mana parti politik tetapi atas rasa tanggungjawab dan keperihatinan bekas-bekas pejar sekolah terbabit sendiri.



Mereka bimbang pertukaran tersebut akan menggadai kecemerlangan pelajar-pelajar aliran agama khususnya pemansuhan subjek teras sekolah tersebut.


Apatah lagi kedua-dua sekolah tersebut juga jelasnya telah banyak melahirkan tokoh-tokoh dan pemimpin negara seperti Menteri Pertahanan Malaysia sekarang ini Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.


"Berdasarkan maklumat, jika kerajaan pusat ambil alih, kemungkinan subjek I'dadi dan Sanawi akan dimansuhkan.
"Ianya akan memberi kesan kepada para pelajar yang mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang agama seperti di Al-Azahar dan lain-lain universiti," katanya lagi.

Kedua-dua sekolah tersebut adalah di bawah pengurusan Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) dan Kerajaan Negeri Perak namun akan diserahkan kepada kerajaan pusat di bawah skim Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) kerana didakwa berdepan masalah kewangan.

Sehubungan itu, TAHAN juga sedang merancang menyediakan satu memorandum untuk dihantar kepada pihak Istana negeri perak jika tiada sebarang maklum balas dari ketiga-tiga pihak terbabit.



Sebelum ini, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) turut mendesak Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah yang juga Yang DiPertua Majlis Agama Islam Negeri campur tangan menyelamatkan SIS dan SERATA agar kekal dibawah kelolaan JAIPk
Read More